Friday, 21 August 2015

DEFINISI GURINDAM

Jika diteliti, definisi gurindam berbeza di antara seseorang pengkaji sastera dengan pengkaji sastera yang lain. Pengkaji-pengkaji tersebut mempunyai pendapat yang berbeza mengenai maksud gurindam. Maka, mari kita lihat dan bandingkan perbezaannya.

Menurut buku Pelita Bahasa, Penggal III Bab xi dan buku Ilmu Mengarang Melayu, (Dewan Bahasa dan Pustaka 1965, halaman 242 fasal 267), Za'ba mendefinisikan gurindam sebagai suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatannya atau rangkapannya. Isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan ceria sebagai nyanyian.

Wilkinson, seorang pengkaji sastera Melayu berbangsa Inggeris pula mendefinisikan gurindam sebagai suatu pepatah berangkap yang diucapkan berpadanan dengan tempatnya.

Seterusnya menurut kamus susunan Sutan Muhamad Zain, gurindam itu mempunyai persamaan dengan sajak yang mempunyai dua baris iaitu baris pertama biasanya syarat dan baris yang kedua ialah akibat.

Poerwadarminta dalam kamus umum Bahasa Indonesia pula menyebutkan bahasa gurindam itu adalah sajak dua baris yang mengandungi pengajaran. 

Windstedt, seorang pengkaji sastera Melayu berbangsa Inggeris yang terkenal menulis tentang makna gurindam dalam kamus Malay-Englishnya sebagai karangan berangkap yang tidak sama baris-barisnya tetapi mempunyai rentak irama serta rangkap bebas atau kata-kata bidalan yang terkandung dalam bentuk sajak iaitu berbentuk berangkap.

Raja Ali Haji, sasterawan dari Riau, pengarang Gurindam Dua Belas yang termasyur, memberikan definisinya tentang gurindam ini sebagai perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya. Maka bentuknya seperti sajak kerana rangkap pertama itu sebagai syarat dan rangkap yang kedua itu sebagai jawab.

Prof. Sutan Takdir Alisyahbana dalam buku Puisi Lama, (Zaman Baru, 1965) antara lain menjelaskan gurindam terjadi dari sebuah kalimat majmuk yang dibahagi menjadi dua baris yang bersajak. Tiap-tiap baris itu menjadi sebuah kalimat. Perhubungan antara kedua-dua kalimat itu biasanya perhubungan antara anak kalimat dengan induk kalimat dan isinya mempunyai persamaan dengan pepatah atau bidalan.

Kesimpulannya, gurindam didefinisikan sebagai rangkap yang mempunyai bayang dan maksud yang mengandungi pengajaran atau nasihat untuk masyrakat ramai. 

No comments:

Post a Comment