Thursday, 27 August 2015

BENTUK-BENTUK GURINDAM

Hampir semua gurindam terjadi dalam bentuk dua baris. Walau bagaimanapun, selain daripada Gurindam Dua Baris, ada juga Gurindam Sebaris, Gurindam Tiga Baris, Gurindam Empat Baris dan sebagainya.

Adapun begitu, gurindam yang mempunyai bentuk lebih dari dua baris disebut Gurindam Berlapis. Gurindam Berlapis ini amat kurang orang menghasilkannya dan amat sukar pula untuk mengarangnya. Justeru itu, tidak ramai orang yang tahu tentang Gurindam Berlapis ini.

Gurindam terbahagi kepada:

  1. Gurindam sebaris
  2. Gurindam Dua Baris
  3. Gurindam Berlapis 
Manakala, lagu guridam terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Lagu Narasi
  2. Lagu Rebutan Acheh
Contoh Gurindam Sebaris:

  • Bersatu teguh, bercerai roboh.
  • Bermuafakat, bertambah berkat.
  • Mengkhianat akan dilaknat.
  • Ikut marah, parah.
#Peringatan - Hampir tidak lagi orang yang menggunakan gurindam sebaris ini. Oleh sebab gurindam sebaris ini lebih dikenali sebagai pepatah atau bidalan maka, gurindam sebaris ini tetap kekal dan dikenali seperti bidalan atau pepatah.

Contoh Gurindam Dua Baris:

  • Bersatu kita teguh,
          Jika bercerai kita roboh.

  • Jika kita bermuafakat,
          Hidup kita akan berkat.

  • Jika kita mengkhianat,
         Kita nanti akan dilaknat.

  • Jika kita ikutkan marah,
          Nescaya akibatnya akan parah.


Seperti yang dinyatakan di atas, gurindam berlapis merupakan gurindam yang mempunyai bentuk lebih daripada dua baris.

Contohnya,

a) Gurindam Tiga Baris

  • Kalau suka hisap rokok, 
          Kalau suka duduk di tembok,
         
          Tentu akal sudah tokok.

  • Pabila mata sudah kabur,
          Pabila gigi sudah gugur,
         
          Itulah tanda akan ke kubur.

b) Gurindam Empat Baris

  • Jika benihnya benih molek,
          Jika tanahnya tanah cantik,


          Jika bajanya baja baik,

          Tentu pokok cepat naik
         
Jika difahami, bentuk gurindam ialah bentuk yang terikat iaitu akhirannya mestilah 'aaaa' dan dapatlah dilihat setiap rangkapnya memberi maksud nasihat untuk masyarakat.




                                                                                             

Saturday, 22 August 2015

KONSEP GURINDAM

Bertemu lagi kita ! 

Baiklah, untuk entri kali ini saya akan menceritakan tentang konsep gurindam pula. 

Gurindam sebenarnya membawa erti sesuatu perkara yang berlaku kerana sesuatu 'sebab' dan dari sebab-sebab itu terjadilah 'akibat'. 

Contohnya, 
                  
                   Kalau cakap tidak cermat, (sebab)
                   Tentu kamu tidak selamat. (akibat)

Atau dalam lain-lain perkataan, sesuatu 'jawapan' pasti akan dihasilkan dengan 'syarat' sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi atau berlaku.

Contohnya,

                   Kalau anak tidak dilatih, (syarat)
                   Bila besar ibunya letih. (jawab)

                   Kalau tiada emas di pinggang, (syarat)
                   Sanak saudara menjadi renggang. (jawab)

                   Apabila perut terlalu penuh, (syarat)
                   Keluarlah kelakuan yang tidak senonoh. (jawab)

Jika diperhatikan setiap rangkap gurindam mempunyai bayang dan maksud . Bayang itu boleh mewakili sebab atau syarat manakala maksud mewakili akibat atau jawab.

Mudahkan untuk mencipta gurindam ?

Baiklah untuk entri kali ini , saya ingin mencabar saudara dan saudari untuk mencipta satu gurindam. Temanya adalah bebas namun pastikan gurindam yang dihasilkan kena dengan konsep yang diberitahu seperti di atas. 

Sertakan gurindam anda di laman komen yee. 

Gurindam yang terbaik akan dikongsi di laman sosial saya.

SELAMAT MENCUBA !

Selamat Mencuba Semua :)



Friday, 21 August 2015

CIRI-CIRI GURINDAM

Pada entri kali ini, saya akan menceritakan tentang ciri-ciri gurindam. Ayuh !

Ciri-ciri gurindam terdiri daripada:


  • Anak kalimat (subordinate clause atau dipanggil juga subordinate adverbial clause of reason).

  • Kalimat utama atau kalimat induk (main clause).

  • Kedua-keduanya iaitu anak kalimat dan kalimat induk bersatu membentuk ayat kompleks yang berangkap (a rythmic complex sentence or verse). namun, rangkap gurindam tidak semestinya dua baris. gurindam juga boleh terjadi dalam bentuk dua baris atau lebih.

  • Gurindam berima, iaitu bunyi di hujung kalimat-kalimatnya seragam atau bersajak.

  • Gurindam membawa motif pengajaran atau nasihat yang dalam maksudnya.

DEFINISI GURINDAM

Jika diteliti, definisi gurindam berbeza di antara seseorang pengkaji sastera dengan pengkaji sastera yang lain. Pengkaji-pengkaji tersebut mempunyai pendapat yang berbeza mengenai maksud gurindam. Maka, mari kita lihat dan bandingkan perbezaannya.

Menurut buku Pelita Bahasa, Penggal III Bab xi dan buku Ilmu Mengarang Melayu, (Dewan Bahasa dan Pustaka 1965, halaman 242 fasal 267), Za'ba mendefinisikan gurindam sebagai suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatannya atau rangkapannya. Isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan ceria sebagai nyanyian.

Wilkinson, seorang pengkaji sastera Melayu berbangsa Inggeris pula mendefinisikan gurindam sebagai suatu pepatah berangkap yang diucapkan berpadanan dengan tempatnya.

Seterusnya menurut kamus susunan Sutan Muhamad Zain, gurindam itu mempunyai persamaan dengan sajak yang mempunyai dua baris iaitu baris pertama biasanya syarat dan baris yang kedua ialah akibat.

Poerwadarminta dalam kamus umum Bahasa Indonesia pula menyebutkan bahasa gurindam itu adalah sajak dua baris yang mengandungi pengajaran. 

Windstedt, seorang pengkaji sastera Melayu berbangsa Inggeris yang terkenal menulis tentang makna gurindam dalam kamus Malay-Englishnya sebagai karangan berangkap yang tidak sama baris-barisnya tetapi mempunyai rentak irama serta rangkap bebas atau kata-kata bidalan yang terkandung dalam bentuk sajak iaitu berbentuk berangkap.

Raja Ali Haji, sasterawan dari Riau, pengarang Gurindam Dua Belas yang termasyur, memberikan definisinya tentang gurindam ini sebagai perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya. Maka bentuknya seperti sajak kerana rangkap pertama itu sebagai syarat dan rangkap yang kedua itu sebagai jawab.

Prof. Sutan Takdir Alisyahbana dalam buku Puisi Lama, (Zaman Baru, 1965) antara lain menjelaskan gurindam terjadi dari sebuah kalimat majmuk yang dibahagi menjadi dua baris yang bersajak. Tiap-tiap baris itu menjadi sebuah kalimat. Perhubungan antara kedua-dua kalimat itu biasanya perhubungan antara anak kalimat dengan induk kalimat dan isinya mempunyai persamaan dengan pepatah atau bidalan.

Kesimpulannya, gurindam didefinisikan sebagai rangkap yang mempunyai bayang dan maksud yang mengandungi pengajaran atau nasihat untuk masyrakat ramai. 

Saturday, 15 August 2015

ASAL USUL GURINDAM

Sebelum membicarakan lebih lanjut mengenai gurindam, mari kita selami dahulu asal usul bermulanya gurindam.

Mengikut sejarah Melayu, kata gurindam berasal dari bahasa Tamil iaitu Kirindam yang bererti “umpama”.

Gurindam dikatakan muncul di Tanah Melayu melalui proses perdagangan yang dibawa oleh orang-orang tamil yang hendak berdagang di Indonesia. 

Puisi melayu ini juga merupakan sebahagian daripada sastera Hindu.

Gurindam adalah suatu bentuk puisi Melayu lama yang terdiri dari dua baris kalimat dengan irama akhir yang sama dan merupakan satu kesatuan yang utuh. 

Gurindam biasanya terdiri dari dua kalimat yang dibagi menjadi dua baris yang bersajak. 

Tiap-tiap baris tersebut merupakan sebuah kalimat majmuk yang merupakan induk dan anak kalimat.